KENINGAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Keningau memberi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak menutup, menghalang atau menyembunyikan pili bomba kerana perbuatan itu boleh melengahkan operasi pemadaman kebakaran dan mengancam nyawa.
Peringatan itu dibuat susulan rondaan pemeriksaan, penyelenggaraan dan ujian pili bomba oleh anggota Skuad Charlie, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau di Zon C daerah ini, yang mendapati sebuah pili bomba ditutup sepenuhnya ‘chamber’-nya menggunakan batu bata dan meja.
Menurut JBPM Keningau, keadaan itu menyukarkan pengesanan serta penggunaan pili bomba berkenaan, yang terletak di kawasan melibatkan sebuah bangunan institusi kerajaan.
“Pili bomba bukan hiasan, tetapi talian nyawa. Jika kebakaran berlaku, setiap saat amat berharga. Halangan seperti ini akan melambatkan bekalan air dan boleh menyebabkan api merebak, harta musnah serta nyawa terancam,” menurut kenyataan JBPM Keningau.
JBPM menegaskan perbuatan menutup, menghalang, menyembunyikan atau menyalahgunakan pili bomba adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 26, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), dan tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap pihak yang ingkar.
Sehubungan itu, orang awam serta pengurusan premis, khususnya di bangunan institusi, diingatkan supaya memastikan pili bomba sentiasa jelas, mudah dicapai dan boleh digunakan pada bila-bila masa.
JBPM Keningau menegaskan keselamatan awam adalah tanggungjawab bersama dan sikap mementingkan diri dengan mengabaikan kemudahan keselamatan boleh membawa akibat yang serius kepada komuniti setempat.
“Jaga pili bomba, selamatkan masa. Apabila masa diselamatkan, nyawa juga dapat dipertahankan,” tegas JBPM.
