TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas didapati memiliki dadah disyaki jenis syabu ketika rondaan cegah jenayah dijalankan di kawasan bandar Tawau, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan Strike Team Balai Polis Tawau terhadap lelaki berusia sekitar 39 tahun di sebuah bangunan terbiar di Jalan Kee Abdullah.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui satu kotak rokok yang mengandungi sepaket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.09 gram,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa ke balai polis bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah terlarang.
ACP Jasmin menegaskan bahawa polis akan terus mempergiat rondaan dan operasi cegah jenayah, khususnya di kawasan berisiko, bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
