TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki mengugut untuk membunuh dan meracun ibu mentuanya dalam satu kejadian di Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai, di sini, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa, seorang wanita tempatan berusia 61 tahun, sedang makan di kediamannya sebelum suspek bertindak agresif di dalam bilik dan mengeluarkan ugutan bunuh serta meracun.
Menurutnya, mangsa yang bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bombalai.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai menjalankan operasi dan berjaya menahan suspek kira-kira jam 5.22 petang pada hari yang sama di hadapan rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati dokumentasi suspek berusia lingkungan 30-an itu telah tamat tempoh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, manakala tindakan lanjut turut diambil berhubung status imigresen suspek.
