SEMPORNA: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terlibat dalam perlanggaran dua bot penumpang di Perairan Seafest Semporna pada 9 Januari lalu, ditemui meninggal dunia pagi ini, sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, PBK I Mohd Akhimullah Adan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada jam 8.37 pagi bahawa mangsa ditemui oleh orang awam.
“Pasukan SAR terus bergerak ke lokasi pada jam 8.45 pagi dan membawa mangsa ke Jeti Marin sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.44 pagi,” katanya.
Menurut beliau, kejadian berpunca daripada perlanggaran dua buah bot penumpang pada kira-kira jam 8 pagi, 9 Januari lalu, membabitkan tujuh mangsa iaitu lima orang di bot pertama dan dua orang di bot kedua. Enam mangsa dilaporkan selamat manakala seorang lagi dipercayai hilang di laut.
Operasi SAR dijalankan sejak hari kejadian melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dengan pencarian diperluaskan dari hari ke hari.
Mangsa dikenali sebagai Rosman bin Kandau, 24 tahun, berbangsa Bajau Laut dan bukan warganegara.
“Pihak kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Sepanjang operasi, pasukan SAR menggunakan aset sedia ada termasuk bot dan peralatan menyelamat bagi memastikan pencarian dilakukan secara menyeluruh,” kata Mohd Akhimullah.
Operasi SAR hari ketiga bermula pada jam 6.30 pagi sebelum mangsa ditemui kira-kira dua jam kemudian, sekali gus menamatkan pencarian di perairan berkenaan.
