RANAU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun mengarahkan tindakan segera termasuk kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran diambil susulan kejadian banjir yang melanda Kampung Mohimboyon dan Kampung Lipantai, di sini, pada Jumaat malam lalu.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan berkata, antara langkah awal yang dilaksanakan ialah pembersihan sistem perparitan, pemasangan paip pembentung baharu, penambahbaikan laluan air serta penyelenggaraan kemudahan awam yang terjejas bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.
“Langkah-langkah ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin, lebih-lebih lagi ketika cuaca tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Dalam kejadian berkenaan katanya, sebanyak 19 kenderaan yang terperangkap akibat laluan dinaiki air berjaya diselamatkan hasil bantuan sukarelawan pacuan empat roda daripada Kundasang Highland Four Wheel Drive Club (KH4WDC), Kilimu Garage (KGR) dan Red Army 4X4.
Pihak polis turut menjalankan pemantauan di kedua-dua kampung terbabit bagi memastikan keadaan kekal terkawal serta keselamatan penduduk terjamin.
Masidi menegaskan Pusat Khidmat DUN Karanaan sentiasa bersiap sedia untuk memantau keadaan dan menyalurkan bantuan kepada kawasan yang terjejas akibat banjir serta risiko tanah runtuh susulan hujan lebat.
