Kawan baik kepada mendiang Nida “Tangmo” Patcharaveerapong menegaskan bahawa pelakon popular itu tidak pernah menggunakan dadah terlarang dan tidak pernah menerima bayaran bagi ‘melayan’ mana-mana orang kenamaan (VIP), lapor Bangkok Post.
Warinthorn Watsang atau “Anna TVpool” serta Poodle Yuppadee tiba di pejabat polis Wilayah 1 pada Selasa lalu untuk memberikan kenyataan mereka kepada penyiasat.
Anna berkata dia akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dan percaya dalam pengendalian kes tersebut.
Anna menjelaskan kepada pemberita bahawa Tangmo tidak pernah menerima sebarang bayaran untuk ‘melayan’ VIP dan tidak menggunakan dadah terlarang.
“Tangmo tidak pernah menggunakan dadah dan menerima bayaran untuk `melayan’ VIP.
“Jika dia menerima tawaran tersebut, sudah tentu dia tidak akan mempunyai hutang,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Tangmo telah ‘dipancing’ ke atas bot untuk menghiburkan seseorang, Anna berkata jawapan itu ada pada ‘orang lain’.
Menurutnya, Tangmo percaya kepada orang tersebut dan tidak pernah meminta butiran terperinci mengenai apa yang perlu dia lakukan. Dia tidak menyebut nama orang itu tetapi ramai mengesyaki bahawa dia merujuk kepada pengurus Tangmo.
Tambahnya lagi, Tangmo tidak mengenali individu lain yang berada di atas bot laju tersebut selain pengurusnya.
Sementara itu, dia menafikan bahawa berlaku pergaduhan antaranya dengan ibu Tangmo dan berkata dia masih lagi menghormati wanita itu.
Terdahulu, ibu Tangmo dilaporkan telah menerima pampasan sebanyak 30 juta baht dan berkata dia hanya memaafkan pemilik dan pemandu bot laju, tetapi tidak yang lain.
Kenyataannya berkenaan jumlah pampasan yang disuarakannya itu telah mendapat respon yang mengejutkan daripada netizen dan rakan Tangmo.
Dalam pada itu, ketua polis negara Thailand akan memberi garis panduan baru untuk menyelesaikan kes itu selepas penyiasat menyelesaikan semua keraguan dan difahamkan, penyiasat telah mengambil keterangan daripada 71 orang.
Pihak polis sebelum ini berkata kematian aktres itu bukan pembunuhan tetapi akibat dari kecuaian.
Media Thai juga melaporkan bahawa polis mungkin mempertimbangkan untuk memfailkan pertuduhan terhadap salah seorang penumpang bot kerana didakwa membawa pulang sebotol wain dan membuang gelas wain tersebut ke dalam Sungai Chao Phraya pada malam kejadian.
Ada kemungkinan tindakannya itu dilihat sebagai membantu atau menyokong orang lain untuk menyembunyikan kesalahan.
Dalam kejadian pada 24 Februari lalu, Tangmo bersama lima yang lain menaiki bot laju di Sungai Chao Phraya dari Jambatan Krung Thon di Bangkok ke Jambatan Rama VII di Nonthaburi.
Dia terjatuh ke dalam sungai berhampiran jeti Pibul 1 di daerah Muang di wilayah Nonthaburi sekitar pukul 10.40 malam.
Mayatnya ditemui oleh anggota penyelamat berhampiran jeti di Nonthaburi pada 26 Februari.
Sumber: Bangkok Post, SK