KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, mendakwa BN/UMNO sedang menghidupkan kembali pendekatan “divide and rule” dengan mewujudkan dua struktur pentadbiran kampung di Sabah, sekali gus memecah-belahkan masyarakat akar umbi dan menjejaskan kelancaran urus tadbir luar bandar.
Armizan berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan beberapa pemimpin utama BN/UMNO yang mendakwa parti itu sejak 2016 sudah berkomitmen untuk “memulangkan kembali apa yang pernah terambil” daripada Sabah selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengesahkan semula hak 40 peratus pemberian khas negeri.
Namun, tegasnya, kenyataan tersebut secara tidak langsung mendedahkan ‘pengakuan bersalah’ bahawa hak Sabah memang pernah diambil oleh parti berkenaan ketika berkuasa.
“Meskipun pengakuan itu boleh dianggap positif kerana menunjukkan hasrat untuk berubah, rakyat Sabah tidak boleh menerima kata-kata manis ini tanpa menilai rekod tindakan mereka. Apa yang disebut tidak sama dengan apa yang dibuat,” katanya.
Beliau memberi contoh jelas melibatkan pemberhentian peruntukan elaun JKKK/JPKK oleh Kerajaan Pusat sejak 2024, sebaik sahaja UMNO/BN tidak lagi bersama kerajaan negeri pimpinan GRS.
Menurut Armizan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kemudian menubuhkan jawatankuasa baharu dikenali sebagai Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) untuk mengambil alih fungsi pentadbiran kampung yang sebelum ini dilakukan JKKK.
“Tindakan ini menyebabkan satu kampung mempunyai dua pentadbiran, JKKK yang dilantik Kerajaan Negeri dan JKDM yang diluluskan Putrajaya. Ini memecah-belahkan komuniti dan mengganggu struktur pengurusan kampung yang selama ini berjalan baik,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa akibat tindakan itu, Kerajaan Sabah kini terpaksa menanggung kos tambahan sekitar RM20 juta setahun bagi menampung elaun JKKK yang sebelum ini sebahagiannya dibantu Kerajaan Pusat.
“Jumlah RM20 juta setahun ini bersamaan dengan kemampuan menaik taraf hampir 40 kilometer jalan perkampungan, namun kini terpaksa digunakan untuk menampung beban yang sepatutnya dibantu Persekutuan,” katanya.
Armizan menegaskan bahawa pembentukan JKDM dipercayai didorong syor dan kepentingan politik UMNO/BN bagi mewujudkan jentera parti di peringkat kampung.
“Di Sarawak, JKDM tidak wujud kerana UMNO/BN tidak ada di sana. Ini bukti bahawa pendekatan ini bermotifkan politik, bukan pembangunan rakyat,” katanya.
Beliau menyifatkan langkah tersebut bercanggah dengan semangat MA63 dan menimbulkan persoalan sama ada lebih banyak tindakan serupa akan berlaku sekiranya BN/UMNO kembali menguasai Sabah.
“Sebab itu rakyat Sabah perlu menilai dengan matang. Jangan terpedaya dengan janji baharu apabila tindakan lampau jelas menunjukkan keutamaan mereka bukan kepada negeri tetapi parti,” tegasnya.
