NABAWAN: Sebuah jambatan kayu dengan had muatan maksimum 6 tan di Jalan Kraftangan, Kampung Malinja, runtuh selepas dilalui sebuah lori seberat 20 tan yang membawa muatan air minuman, tengah hari kelmarin.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, lori jenis Nissan bernombor pendaftaran SU 1162 K itu membawa kira-kira 1,550 karton “Drinking Water SASA” ketika melintasi jambatan berkenaan sebelum struktur sepanjang 25 kaki itu gagal menampung beban dan roboh sepenuhnya.
Enam individu termasuk pemandu dan penumpang berada di dalam lori ketika kejadian, namun kesemua mereka selamat dan tidak mengalami kecederaan.
BBP Nabawan menerima panggilan kecemasan pada jam 11.26 pagi dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Operasi turut melibatkan kerjasama PDRM, JKR serta jengkaut jenis Hitachi yang digunakan untuk mengalihkan lori terbabit ke kawasan selamat.
Susulan kejadian, Jalan Kraftangan Nabawan ditutup sementara, dan pengguna diarahkan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Nabawan TWP.
Setelah memastikan kawasan bebas bahaya, operasi ditamatkan pada jam 1.00 tengah hari dan lokasi diserahkan kepada JKR untuk penilaian kerosakan serta tindakan seterusnya.
