PUTATAN: Seorang lelaki warga emas yang ditemui bersendirian berhampiran Kem Lok Kawi, Putatan telah dibawa oleh orang awam ke Balai Polis Putatan setelah dipercayai tidak mampu mengurus diri serta tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, percubaan untuk mendapatkan butiran diri lelaki tersebut tidak berjaya berikutan masalah komunikasi yang dialami warga emas berkenaan.
“Bagi memastikan keselamatannya, beliau telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi Pejabat Kebajikan Daerah Putatan untuk jagaan sementara.
“Pihak polis kini sedang mengesan ahli keluarga atau waris terdekat untuk tampil mengenal pasti dan menuntut warga emas tersebut,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
IPD Penampang menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau mengenali individu berkenaan supaya segera hadir ke Balai Polis Putatan bagi membantu urusan selanjutnya.
Kerjasama masyarakat amat dihargai dalam memastikan kebajikan dan keselamatan warga emas tersebut terjamin.
