Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa kerajaan sedang giat berhubung dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk melalui saluran diplomatik bagi memastikan pembebasan segera aktivis dan sukarelawan Malaysia, ASEAN serta antarabangsa yang ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, Perdana Menteri menegaskan bahawa setiap langkah sedang diambil dengan penuh keutamaan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat, dan sebarang perkembangan proses pembebasan akan dimaklumkan secara berperingkat.
“Saya dan pasukan sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk saluran diplomatik dalam usaha memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN dan antarabangsa dibebaskan dengan segera,” katanya.
Perdana Menteri turut menzahirkan sokongan moral kepada keluarga semua aktivis dan sukarelawan yang kini sedang berdepan saat mencabar, sambil menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan keselamatan mereka.
“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini. Perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari masa ke masa,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, Anwar turut mengajak rakyat untuk bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan dilindungi daripada sebarang bahaya.
“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” katanya.
Pagi tadi dilaporkan berlaku penahanan 201 aktivis antarabangsa, termasuk 12 rakyat Malaysia, oleh Pasukan Pertahanan Israel (IOF) dalam insiden tegang di perairan antarabangsa ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
