Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Taktik baharu penipuan yang menawarkan perkhidmatan ‘memulangkan wang’ mangsa kini dikesan semakin berleluasa, dengan kerugian hampir RM70,000 direkodkan selepas mangsa diperdaya buat kali kedua.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) memaklumkan modus operandi itu melibatkan suspek yang menyamar sebagai wakil National Scam Response Centre (NSRC) bagi memperdaya mangsa penipuan sedia ada.
Pengarah JSJK, CP Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa biasanya tertarik dengan iklan di media sosial sebelum dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh suspek.
“Suspek mendakwa boleh membantu mendapatkan semula wang mangsa yang telah ditipu, namun mengenakan bayaran pendahuluan sebagai syarat perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Menurut beliau, mangsa yang mempercayai tawaran tersebut akan diarahkan membuat beberapa transaksi ke akaun bank berbeza, namun tidak menerima sebarang pemulangan wang, sebaliknya terus diminta bayaran tambahan.
“Tiada mana-mana pihak boleh menjanjikan pemulangan wang yang telah ditipu secara mudah, apatah lagi dengan mengenakan bayaran pendahuluan,” tegasnya.
Beliau berkata, sebanyak enam kes melibatkan taktik penipuan itu direkodkan dari tahun 2025 hingga Mac 2026 dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM68,491, melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu.
Tambahnya, kebanyakan kes membabitkan mangsa yang sebelum ini telah menjadi mangsa penipuan, sekali gus menjadikan mereka sasaran mudah untuk diperdaya kali kedua.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran sedemikian serta sentiasa membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Individu yang menjadi mangsa penipuan disarankan untuk segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.
