KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yakin Sabah mampu beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang September sekiranya momentum program vaksinasi sekarang berterusan.
Beliau turut berkata, bahawa negeri ini dijangka akan mencapai 60% pemberian vaksin sebelum 15 September dan ia akan membolehkan Sabah beralih ke Fasa 3 PPN.
“Kita mencapai angka tertinggi vaksinasi harian melebihi 60,000 dos pada beberapa hari lalu. Jika keadaan seperti ini berterusan, kita boleh mencapai imuniti kelompok sekurang-kurangnya pada bulan Oktober atau November,” katanya semasa sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Sulaman, hari ini.
Menurutnya juga, kerajaan negeri ini akan menerima sebanyak 560,720 dos vaksin CanSino, Pfizer dan Sinovac pada minggu hadapan.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan penerima vaksin dos pertama di Sabah adalah seramai 1.42 juta. – Utusan Online