KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan sapina ke atas seorang doktor pakar hospital swasta untuk hadir ke mahkamah bagi menjelaskan keadaan kesihatan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Perintah itu dikeluarkan selepas Presiden UMNO itu tidak hadir pada perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi yang dihadapinya, pada Selasa.
Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluar sapina itu ke atas Dr Mohd Shahir Anuar dari Hospital Pakar Avisena, Shah Alam untuk hadir ke mahkamah pada pukul 3.30 petang, Rabu.
“Kes ini tidak boleh ditangguh lagi, saya mahu kes ini diselesaikan pada tahun ini juga. Adalah tidak adil bagi tertuduh dan mahkamah untuk terus menangguhkan kes ini terlalu lama.
“Kes ini mula disebut di mahkamah pada 2019,” katanya di sini pads hari ini.
Hakim Collin Lawrence turut meminta wakil daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan untuk hadir pada prosiding yang ditetapkan esok.
Terdahulu, prosiding ditangguhkan hampir satu jam bagi memberi ruang kepada pasukan pembelaan untuk berbincang dengan doktor berkenaan sama ada dapat hadir ke mahkamah hari ini.
Sebelum ini, kes Presiden UMNO yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.
Ia melibatkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu ditangguh beberapa kali termasuk terbaharu tiga minggu lalu selepas pejabat seorang daripada peguamnya terdedah dengan jangkitan COVID-19. – AWANI