
KOTA KINABALU: Kebanyakan jalan di negeri ini telah pun melepasi hayat reka bentuk dan tidak sesuai untuk idbuat sekadar penyelanggaraan rutin.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelemy Yahya berkata, sebaliknya jalan-jalan di negeri ini perlu dinaiktaraf secara menyeluruh.
“Menyedari hakikat ini, pada bulan Januari yang lepas Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan khas
berjumlah RM285 juta untuk pelaksanaan kerja pembaikan empat jalan utama menggunakan kaedah CIPR (Cold in-place pavement recycling).
“Empat jalan utama tersebut adalah Jalan Nangoh Paitan Kanibongan, Jalan Kanibongan, Jalan
Langkon-Pitas dan Jalan Sapulut Kalabakan.
“Peruntukan khas ini adalah untuk pelaksanaan kerja selama 18 bulan yang telah bermula pada awal bulan Mac 2025 dan dijangka disiapkan pada penghujung bulan Ogos tahun 2026,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.
Dalam pada itu, bagi menjawab soalan ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan) mengenai peruntukan daripada RM500 juta untuk pengendalian dan penyenggaraan jalan raya dan jambatan serta berapa syarikat dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut dan perincikan sejauh mana progress kerja yang telah mereka laksanakan bagi setiap kawasan terbabit, Shahelmey berkata, peruntukan penyenggaraan bagi Jalan
Persekutuan adalah disediakan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKRM), manakala peruntukan penyenggaraan bagi Jalan Negeri adalah disediakan oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
“Sumber kewangan untuk penyenggaraan Jalan Negeri yang dikenali sebagai ‘Kumpulan Wang Amanah
Pengendalian dan Penyelenggaraan Jalanraya-Jalanraya dan Jambatan-Jambatan Negeri Sabah K56’ adalah dari Caruman Kerajaan Negeri dan pemberian penyenggaraan Jalan Negeri oleh Kerajaan Persekutuan (Peruntukan Perkara 109(1)(b), Perlembagaan Persekutuan).
“Pada tahun ini, Caruman Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM450 juta dan pemberian penyenggaraan Jalan Negeri oleh Kerajaan Persekutuan pula berjumlah RM675 juta.
“Bagi Jalan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKRM) telah melantik satu syarikat konsesi untuk menyenggara Jalan Persekutuan JKR seluruh Sabah,” katanya.
Jelas beliau lagi, syarikat ini telah dilantik pada 01 September 2003 untuk tempoh konsesi selama 15 tahun yang
berakhir pada 31 Ogos 2018.
Kerajaan Persekutuan kemudian bersetuju melantik semula syarikat ini untuk tempoh lanjutan selama 10 tahun bermula pada 01 September 2018 sehingga 31 Ogos 2028.
Manakala bagi Jalan Negeri di bawah seliaan JKR Sabah, Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat memaklumkan, Kerajaan Negeri telah melantik satu syarikat konsesi untuk menyelenggara Jalan Negeri JKR berturap seluruh Sabah.
“Syarikat ini telah dilantik pada 01 September 2004 untuk tempoh konsesi selama 15 tahun yang berakhir pada 31 Ogos 2019.
“Kerajaan Negeri kemdian bersetuju melanjutkan tempoh syarikat ini selama 15 tahun lagi bermula pada 01 September 2019 sehingga 31 Ogos 2034,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah melantik 3 syarikat kontraktor untuk menyenggara Jalan Negeri JKR berturap bagi kawasan luar bandar bagi tempoh 5 tahun yang bermula pada bulan Jun 2023 sehingga bulan Jun 2028.
Kerajaan Negeri juga turut melantik sebanyak 32 syarikat kontraktor untuk menyenggara Jalan Negeri JKR tidak berturap (Jalan Kelikir) mengikut kawasan dan daerah.