
KOTA KINABALU: Pemergian bekas Perdana Menteri malaysia Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan kehilangan besar buat negara.
Allahyarham Tun Abdullah dilaporkan telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.10 malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Tun Abdullah bukan sahaja dikenang sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan tetapi juga sebagai pemimpin berjiwa rakyat, penuh hemah dan disenangi ramai.
“Sepanjang enam tahun kepimpinan beliau (2003–2009), pelbagai inisiatif besar telah dilaksanakan oleh beliau seperti pelancaran lima Koridor Ekonomi Malaysia, termasuk Koridor Pembangunan Sabah (SDC) pada tahun 2008.
“SDC telah membuka laluan penting dalam pembangunan negeri Sabah dan telah membuka pintu masuk pelaburan dan perdagangan serta menjadikan negeri yang lebih celik teknologi, harmoni dan sejahtera untuk didiami. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.Al-Fatihah,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.
Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Kerajaan telah memutuskan supaya Allahyarham Tun Abdullah diberi penghormatan “Istiadat Pengebumian Negara”.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur pada jam 8.00 pagi bagi pengurusan jenazah dan penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara bermula jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
“Jenazah akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
“Pakaian bagi pelawat lelaki Islam adalah Baju Kebangsaan warna hitam, bersamping hitam tanpa sebarang corak dan bersongkok hitam manakala bagi bukan Islam adalah Lounge Suit gelap. Selain itu, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai. Pakaian bagi pelawat wanita Islam adalah baju kurung/kebaya labuh warna gelap dengan selendang/tudung putih manakala bagi bukan Islam pakaian sopan warna gelap dan berselendang putih. Selain itu, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai,” jelas kenyataan itu.
Semua bangunan di dalam jarak radius 2 kilometer daripada Masjid Negara juga hendaklah mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sehingga selesai Istiadat Pengebumian.