
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah memulakan siasatan berhubung satu rakaman video berdurasi 44 saat yang tular di media sosial, memaparkan tindakan sekumpulan individu mengejar sebuah kenderaan jenis Perodua Viva di kawasan Jalan Tuaran Bypass yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, rakaman tersebut dipercayai berkaitan dengan satu kejadian cubaan mencuri kabel yang berlaku di daerah ini.
“Kenderaan Perodua Viva yang tular dalam video tersebut dikenal pasti sebagai kenderaan yang digunakan oleh suspek yang disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan, iaitu kerana melakukan khianat terhadap kemudahan awam. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 tahun dan denda atau kedua- duanya.
“IPD Kota Kinabalu memandang serius akan tindakan sedemikian dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti semua individu yang terlibat serta motif sebenar kejadian.
“Dalam masa yang sama, orang awam dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menyalahi undang-undang, seperti mencederakan suspek atau mengambil sebarang bentuk tindakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut diminta untuk tampil memberikan kerjasama dengan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau menghubungi talian 088-529222 bagi membantu siasatan.
Segala maklumat yang diterima akan dirahsiakan.