KUALA LUMPUR: Lebih 90,000 kesalahan melanggar lampu isyarat merah direkodkan di seluruh negara sepanjang Januari hingga November tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 95,298 kesalahan tersebut direkodkan dengan mengikut pecahan masing-masing seperti motosikal (39,468), kereta (44,889), lori (3,937) dan lain-lain kenderaan (7,004).
“Kesalahan ini menyumbang kepada peningkatan risiko kemalangan jalan raya terutamanya di kawasan persimpangan utama,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, JSPT Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin menegaskan bahawa kesalahan melanggar lampu isyarat merah adalah satu pelanggaran undang-undang jalan raya yang serius dan berpotensi menyebabkan kemalangan yamg membawa maut.
“JSPT menegaskan bahawa tidak akan berkompromi terhadap mereka yang melanggar peraturan ini, pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat akan dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sering melakukan kesalahan ini.
“Kamera pengawasan (CCTV/sistem kamera lampu merah) di persimpangan utama akan dipertingkatkan bagi memastikan pelanggatan undang-undang dapat dikesan dan ditangkap dengan segera,” katanya.
Sementara itu, katanya, JSPT sentiasa akan berkolaborasi bersama agensi kerajaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kesalahan lampu isyarat merah diambil tindakan di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, penalti kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas, iaitu disabitkan dengan denda tidak kurang RM300 atau tidak melebihi Rm2,000.
“Bersempena Malaysia yang telah dipilih sebagai tuan rumah Kepengerusian ASEAN 2025, masyarakat dan semua pengguna jalan raya hendaklah sentiasa mempamerkan sikap yang lebih bertanggungjawab, mematuhi peraturan juga mematuhi arahan daripada pihak berkuasa dan berdisiplin bagi menaikkan imej negara,” tegasnya.
Semua pengguna jalan raya juga diseru agar sentiasa berada dalam keadaan fokus semasa memandu dan tidak tergesa-gesa melintasi lampu isyarat merah.
“Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan dengan kerjasama semua, kita dapat mengurangkan kemalangan yang berpunca daripada pelanggaran peraturan lalu lintas terutama di persimpangan utama jalan raya.
“JSPT mengucapkan terima kasih dengan kerjasama semua pihak dengan secara tidak langsung membuktikan pengguna jalan raya di Malaysia mempunyai tahap disiplin yang tinggi,” ujarnya.