KOTA KINABALU: “Ini sememangnya satu penghormatan yang besar kerana YDPA telah mengamanahkan saya dengan pelantikan sedemikian dan tanggungjawab yang datang bersamanya,” kata Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman.
Tun Musa menzahirkan perlantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dengan penuh rasa tanggungjawab.
Dalam sebuah kenyataan rasmi sebentar tadi, beliau turut berharap untuk dapat terus berkhidmat kepada negeri Sabah dan rakyat atas kapasiti sebagai TYT.
“Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim kerana berkenan atas perlantikan saya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 dalam satu istiadat di Istana Negara hari ini.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kerana berkeyakinan mengesyorkan saya untuk memegang jawatan yang begitu mulia sebagai Ketua Negeri,” katanya ringkas.