KUALA LUMPUR: Sepuluh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terkorban meninggal dunia selepas dua helikopter dinaiki mereka bertembung sebelum terhempas ketika raptai Perbarisan Hari Terbuka Armada TLDM ke-90 di Pangkalan Lumut, Perak pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.32 pagi itu, kesemua mayat mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Angakatan Tentera Pangkalan untuk proses pengecaman.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam satu kenyataan media di sini, hari ini berkata, tujuh mangsa terbabit ialah, kru Helikopter Operasi Maritim dan tiga lagi kru Fennec TLDM.
“TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“TLDM memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan Hari Terbuka Armada dijadualkan berlangsung 3 hingga 5 Mei ini.
Pagi tadi tular sebuah video berdurasi 21 saat yang merakamkan pertembungan tragis itu beberapa minit selepas insiden.
Susulan itu turut tular gambar serpihan helikopter yang ditemui di dataran padang bola yang berhampiran.