KOTA KINABALU: Prestasi pelaburan negeri Sabah menunjukkan peningkatan positif yang ketara di mana Sabah menerima jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak Rm11.346 bilion pada tahun lalu.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, jumlah keseluruhan pelaburan itu telah menjadikan Sabah sebagai negeri ketujuh tertinggi yang menerima pelaburan seluruh Malaysia.
“Kerajaan negeri Sabah yang berjaya merancakkan sektor perindustrian dan menggalakkan lagi pelaburan berkembang dalam rangkaian ekonomi apabila syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd telah mengembangkan pelaburan mereka di Sabah melalui ‘subsidiary’ Curix Sdn Bhd bagi kilang pembuatan ‘copper granule’ bernilai RM300 juta di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP),” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak yang bertanya mengenai jumlah pelaburan asing baharu yang diterima oleh negeri Sabah.
Phoong yang juga ADUN Luyang berkata, kementeriannya kini sedang menyelaras cadangan pelaburan syarikat kumpulan Kibing yang akan meningkatkan kapasiti penghasilan kaca solar.
“Kementerian saya sedang menyelaras cadangan pelaburan syarikat kumpulan Kibing yang akan meningkatkan kapasiti penghasilan kaca solar kilangnya di KKIP melalui pertambahan ‘third production line’ dengan anggaran nilai pelaburan tambahan berjumlah RM700 juta, sekali gus mewujudkan lebih 600 peluang pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai isu peluang pekerjaan, Phoong berkata, setakat ini, kilang di KKIP sudah mewujudkan 1,661 peluang pekerjaan dan 86 peratus daripadanya, iaitu 1,430 adalah anak-anak Sabah.