SHAH ALAM: Seorang lelaki mabuk maut, selepas lehernya tersepit pada pada pintu masuk sebuah bank dalam kejadian di Kota Kemuning pada Selasa (2 Jan).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 7.29 pagi berkaitan kes tersebut.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati mangsa dilihat berbaring di hadapan pintu masuk ke ruang mesin ATM dipercayai dalam keadaan mabuk pada jam 11.48 malam Isnin (1 Jan).
“Pada 12.01 tengah malam Selasa (2 Jan), pintu ‘shutter’ ruang mesin ATM itu tertutup secara automatik menyebabkan leher mangsa tersepit antara pintu shutter dan lantai sebelum ia terbuka (secara automatik) pada jam 6 pagi,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Perubatan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
“Pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa dianggarkan berusia lingkungan 50-an hingga 60-an serta tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.
Menurutnya lagi, siasatan dijalankan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Sumber: Sinar Harian