KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memandang serius mengenai kes kematian seorang remaja akibat demam denggi yang didakwa berpunca dari kelemahan diagnosa Pegawai Perubatan di Hospital Tuaran baru-baru ini.
Pengarah JKNS, Datuk Dr. Asits Sanna berkata, pihaknya kini dalam siasatan yang menyeluruh dan telus dalam proses untuk mengenal pasti tindakan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan rawatan kesihatan kepada rakyat di negeri ini.
“Siasatan awal telah dilaksanakan oleh Jabatan ini dengan menyemak rekod perubatan pesakit semasa kedatangan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran, didapati pesakit telah hadir sebanyak dua kali iaitu pada 25 Disember 2023 dan 28 Disember 2023.
“Pesakit berkenaan merupakan seorang warganegara lelaki berusia 18 tahun dari Kampung Bulieng, Tuaran. Pesakit ini telah hadir pada jam 11:23 pagi, 25 Disember 2023 dengan gejala sakit ulu hati (‘epigastric pain‘) dan muntah-muntah selama 1 hari.
Berdasarkan rekod, pesakit tidak mengadu sebarang gejala lain seperti demam, cirit-birit, sakit dada atau sesak nafas. Pemeriksaan tanda vital semasa menerima rawatan juga adalah stabil dengan bacaan suhu adalah normal,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa (2 Jan).
Katanya, pesakit kemudian diberikan rawatan ubat gastrik dan ubat tahan muntah melalui suntikan intrvena dan dibenarkan pulang selepas lebih kurang satu jam pengawasan di zon pemerhatian.
Pesakit kemudian dibenarkan pulang dengan ubat tahan sakit, ubat gastrik, dan turut dinasihatkan untuk datang semula dengan segera ke hospital jika gejala bertambah teruk.
“Kemudian, pesakit telah datang semula ke Unit Kecemasan & Trauma, Hospital Tuaran pada 28 Disember 2023 jam 8.50 pagi kerana mempunyai gejala pendarahan dari hidung, demam, muntah-muntah, cirit-birit, dan kurang selera makan.
“Pesakit kemudiannya telah diperiksa oleh Pakar Perubatan Kecemasan yang bertugas di Hospital Tuaran dan disahkan menghidap penyakit Denggi pada kedatangan kali kedua ini. Memandangkan keadaan pesakit ketika itu tidak stabil, pesakit telah dirujuk dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut pada jam 11.30 pagi pada hari yang sama.
“Namun demikian, pesakit disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), (HQE) pada hari berikutnya,” jelasnya.
Beliau menambah, JKNS sentiasa berusaha dari masa ke semasa untuk meningkatkan kualiti rawatan di Hospital Tuaran.
“Kini Hospital Tuaran mempunyai empat orang pakar yang betugas, iaitu seorang pakar perubatan am, dua orang pakar pediatrik dan seorang pakar perubatan kecemasan,” tambahnya.