KUALA LUMPUR: Pemberian wang yang disebut sebagai sedekah, bayar tiket bas atau memberikan ole-ole ketika musim pilihan raya adalah menyalahi udang-undang Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ini kerana tindakan tersebut boleh mempengaruhi pengundi untuk memenangkan calon terbabit.
Katanya, pengundi perlu tahu hak dan tanggungjawab mereka untuk balik mengundi tanpa mengharap bantuan dibayarkan tiket pulang oleh orang lain.
Menurutnya, alasan tidak mahu pulang mengundi jika tidak dibayarkan tiket pulang sebenarnya tidak boleh kerana menjadi tanggungjawab mereka untuk mengundi tanpa dipengaruhi oleh mana-mana calon.
“Hak kita untuk mengundi, dan jika dibayar ia menyalahi undang-undang kerana tiada ketelusan dalam pilihan raya itu.
“Bahkan, menjanjikan sebarang jawatan untuk mengundi juga tidak boleh kerana apa jadi jika semua orang diberi duit sudah tentu boleh memenangkan calon terbabit,” katanya ketika menjadi rancangan Tamu Kito di platform media sosial Facebook NEGERIfm Official hari ini.
Tambah Azam, calon atau ejen juga tidak boleh menghantar pengundi kerana itu dinamakan perkhidmatan dan ramai yang melakukan perkara itu.
“Hati-hati jika melalukan kesalahan itu kerana tukang mengadu ramai dan boleh membatalkan kemenangan mereka jika terbukti,” tegasnya.
Beliau berpesan kepada pengundi agar tidak menyalahkan SPRM jika tindakan diambil kerana pihak mereka hanya menguatkuasa undang-undang sedia ada.
Beliau turut menasihati para pengundi di pilihan raya enam negeri pada Ogos depan untuk melaporkan kepada SPRM jika ada tawaran untuk diberi apa-apa sebagai imbuhan mengundi seseorang calon tertentu.
Enam negeri yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan depan ialah, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Sumber: BH