SANDAKAN: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersedia menjadi tulang belakang parti dengan tekad, disiplin dan semangat perjuangan tinggi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, kekuatan jentera pemuda bukan hanya bergantung kepada jumlah keanggotaan, sebaliknya terletak pada kesatuan fikrah, kejelasan hala tuju dan keberanian membawa suara rakyat.
“Kekuatan jentera pemuda bukan sahaja terletak pada jumlah, tetapi pada kejelasan hala tuju, kesatuan fikrah dan keberanian membawa suara rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata demikian sempena Jelajah Pemuda Zon Sandakan yang menghimpunkan pimpinan Pemuda daripada tujuh bahagian iaitu Sekong, Karamunting, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Gum-Gum, Elopura dan Tanjung Papat.
Menurut Azrul, pertemuan itu menjadi platform penting untuk memperincikan perkembangan parti selain membincangkan isu-isu semasa yang memberi kesan langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, perbincangan secara terbuka dan berfokus membolehkan setiap pimpinan bahagian menyelaras gerak kerja serta memperkukuh kesatuan dalam mendepani landskap politik yang semakin dinamik.
“Perbincangan yang terbuka dan berfokus ini membolehkan setiap pimpinan bahagian menyelaras gerak kerja serta memperkukuh kesatuan dalam menghadapi landskap politik yang semakin dinamik,” katanya.
Azrul turut menegaskan komitmen Pemuda Gagasan Rakyat untuk terus memperjuangkan isu-isu rakyat khususnya melibatkan golongan muda termasuk peluang pekerjaan, pendidikan, keusahawanan dan kos sara hidup.
“Suara anak muda tidak boleh sekadar didengar, tetapi mesti diperjuangkan dengan tindakan yang nyata dan berkesan,” katanya.
Tambah beliau, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus bergerak sebagai satu pasukan dalam memperkukuh parti selain memastikan aspirasi rakyat kekal menjadi keutamaan perjuangan.
