KOTA KINABALU: Bantuan Sabah edisi ketiga, iaitu Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0 menunjukkan keprihatian kerajaan negeri terhadap sektor pelancongan di Sabah.
Pengerusi The Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA) Sabah, Lawrence Chin berkata bahawa sebelum ini kerajaan negeri juga sudah membantu industri pelancongan melalui BSP 1.0 dan BSP 2.0.
Chin berkata Insentif tunai ini akan menjadi pendorong semangat kepada industri pelancongan di Sabah untuk terus bertahan dalam musim yang cukup mencabar ini dengan merujuk kepada BSP 3.0 berjumlah RM154,835,981 yang diumumkan oleh Ketua menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini.
Chin turut mendesak kerajaan negeri Sabah untuk mengadakan program vaksinasi untuk mereka yang bekerja di dalam bidang industri pelancongan terutama barisan hadapan mereka.
Dengan pelaksanaan program vaksinasi terhadap pekerja di sektor pelancongan, Chin berkata ini akan membantu mereka kembali beroperasi dengan membuka sempadan secepat yang mungkin bagi tujuan pasaran domestik dan antarabangsa.
Melihat kepada kadar pendaftaran vaksin, Chin berkata sehingga 4 Jun, Sabah adalah antara yang terendah mencatatkan kadar pendaftaran di seluruh negara dengan 19.67%.
Sementara itu, Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata bahawa, pihak mereka amat menghargai bantuan berterusan oleh kerajaan negeri Sabah kepada industri pelancongan.
Beliau menambah bahawa ini adalah antara contoh yang boleh dirujuk oleh kementerian pelancongan persekutuan dan juga negeri-negeri lain, dengan mempertimbangkan Sekatan Jalan Raya (SJR) semasa untuk domestik dan antarabangsa.
“MATTA bersama dengan pihak berkepentingan yang lain dijadualkan untuk segera bertemu dengan Ketua Menteri Sabah. Keterlibatan sektor awam dan swasta diperlukan bagi merangka strategi yang lebih baik dan lebih agresif untuk menghidupkan kembali industri pelancongan yang merupakan tonggak utama ekonomi Sabah,” ujar Tan. – NST