KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau keadaan bekalan air di seluruh Sabah bagi menggantikan keadaan air masin di Sandakan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, setiap minggu mereka mengambil sampel paip di pelbagai daerah untuk memeriksa sifat kimianya serta mencari kemungkinan pencemaran.
“Kita ada pihak kejuruteraan yang mengambil sampel air ini untuk di hantar ke makmal bagi tujuan penyiasatan punca dan sekarang masih menunggu keputusan makmal kimia.
“Setakat ini belum ada sebarang laporan kes di daerah lain selain Sandakan. Kami akan terus memantau bekalan air di sini bagi memastikan keselamatan semua rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Oksigen (O2 )Untuk Rakyat di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Menurut Rose, pencemaran air jangka pendek tidak akan membawa sebarang kesan buruk kepada pengguna tetapi beliau lebih mengambil berat tentang pencemaran jangka panjang.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa mengambil dan menggunakan air.
“Orang ramai mesti berhati-hati, maksudnya apabila mereka minum air dari paip, adalah dinasihatkan untuk memasak air tersebut hingga mendidih.
“Jadi kalau ada pencemaran bakteria dan sebagainya, ia boleh dibunuh dengan mendidihkan air tersebut. Oleh itu, pengetahuan orang awam juga penting,” tegasnya.
Menurut laporan berita baru-baru ini, penduduk Sandakan mendakwa menerima air terawat masin yang dipercayai tercetus selepas air laut menyusup ke titik pengambilan air sungai Segaliud pada akhir November 2022.
Perkara ini membimbangkan penduduk kerana khuatir bekalan air di situ tercemar sehingga menyebabkan air terasa masin. Pasukan khas telah ditugaskan untuk menyelesaikan isu tersebut.