KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan usaha menaik taraf hospital di seluruh Sabah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, pihaknya kini sedang meneliti sumber yang diperlukan oleh hospital seperti peralatan atau kakitangan, mengikut bajet yang diberikan.
Jelasnya, usaha ini akan dijalankan secara berperingkat dan sudah pun dijalankan.
“Seperti wad Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di Hospital Beaufort, yang mula beroperasi awal Januari tahun ini.
“Selain itu, terdapat juga keperluan untuk menaik taraf bilik bedah di hospital di sini kerana kebanyakannya sudah berusia hingga puluhan tahun, peralatannya juga perlu diganti dan perlu menyelenggara bilik-bilik bedah yang lama,” katanya ketika ditemui media di Kota Kinabalu pada Isnin.
Dalam pada itu, Rose Nani berkata, pihaknya juga merancang untuk membina lebih banyak bilik bedah di beberapa hospital di negeri ini.
“Sebagai contoh, kami bercadang untuk menambah dua lagi bilik bedah di Hospital Tuaran yang mana pada saat ini hanya memiliki dua bilik bedah.
“Bagaimanapun, ini akan mengambil sedikit masa kerana kami perlu mengambil kira pelbagai faktor.
“Salah satu faktornya ialah, kita perlu melatih kakitangan termasuk pakar perubatan dan doktor supaya mereka ada kepakaran dan berkebolehan untuk menjalankan operasi pembedahan. Kerana ini bagi memastikan keselamatan pesakit sepenuhnya,” ujarnya.