KOTA KINABALU: Tanda tanya mengenai status Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dalam Perikatan Nasional (PN) kini terjawab.
STAR dinyatakan sah keluar daripada PN dan perkara itu disahkan sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Bagaimanapun, pengumuman mengenai perkara itu katanya akan dibuat dalam masa terdekat.
“Ya, (STAR sah keluar dari PN), kita tunggu pengumuman. Sebab kalau kau pergi sini, saya pergi sana maksudnya tidak sehaluan lah tu,” jelasnya kepada media ketika ditanya apakah STAR sudah keluar dari PN.
“Itu sajalah, tunggu pengumuman,” tambahnya ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sabah (IPS), Timbang Menggaris ke-50 dan konvokesyen Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) Lahad Datu kali ke-37 dan 38 tahun di Bangunan Yayasan Sabah, Kota Kinabalu pada Isnin (5 Disember).
Jeffrey yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini berkata sudah pun membincangkan hal itu di dalam Biro Politik STAR.
STAR sebelum ini merupakan parti komponen PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 (PRN16) pada tahun 2020.
Selain STAR, parti Sabah yang termasuk dalam komponen itu juga adalah Parti Progresif Sabah (SAPP).
Kini STAR menganggotai GRS sejak Mac lalu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), SAPP dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
Gabungan itu kini menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.