KOTA KINABALU: Penyenaraian Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak seperti yang diharapkan oleh kebanyakkan rakyat.
Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah, Mazlan Joehari Manan berkata, meski pun demikian dengan deretan senarai baru sebagai Menteri Penuh diharapkan mampu membawa perubahan dan reformasi yang dilaungkan sebelum ini.
Sementara itu Mazlan yang mewakili anak muda negeri Sabah, beliau menyokong penuh pelantikan dua Ahli Parlimen muda dan baru dari Sabah dalam senarai Kabinet Kerajaan baru.
“Bagi kami anak muda belia negeri Sabah juga cukup menyokong penuh pelantikan Ahli Parlimen Muda dan baru, iaitu Datuk Armizan Mohd Ali dan Tuan Ewon Benedick dalam senarai Kabinet Kerajaan baru ini.
“Aspirasi perjuangan mereka sebelum ini sudah tentu mampu membawa perubahan yang ingin direalisasikan dalam kerajaan Malaysia.
“Namun jumlah kecil wakil negeri Sabah dalam Kabinet Kerajaan sedikit mengecewakan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Bagaimanapun, jelas Mazlan semoga akan ada lantikan dan tanggungjawab yang lebih signifikan kepada wakil-wakil Sabah dalam kerajaan dan GLC kemudiannya nanti yang mampu membawa bersama aspirasi rakyat Negeri Sabah.
Tambah beliau, kepelbagaian latar belakang dengan gabungan wajah baru dan lama dalam Kabinet diharapkan mampu membawa perubahan dan reformasi kerajaan baru demi masa depan negarax yang lebih baik.
“Cabaran YAB PM dan kerajaan baru ini adalah dalam merealisasikan apa yang telah dijanjikan sebelum pilihanraya.
“Anak muda dan rakyat secara keseluruhannya akan melihat apa perubahan yang mampu kerajaan baru ini laksanakan dan bagaimana mereka mampu membentuk dasar-dasar kerajaan yang akhirnya membawa negara ke era baru dan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat sesuai dengan perubahan zaman.
“Kami anak muda dan rakyat negeri Sabah memohon agar lebih banyak perubahan yang mampu di bawa dan dilakukan kerajaan persekutuan kepada hak dan kepentingan rakyat negeri Sabah,” jelasnya.