KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menyediakan peruntukan RM30,000 bagi persiapan kontinjen Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Sabah pada 2027, selain mempertimbangkan pemberian insentif tambahan sekiranya kontinjen itu kembali bergelar juara.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peruntukan berkenaan merupakan komitmen kementeriannya dalam memudahkan gerak kerja dan persiapan kontinjen Sabah.
“Sebagai komitmen saya selaku menteri yang bertanggungjawab, tahun hadapan kita akan sediakan RM30,000 kepada persiapan kontinjen MSSM Sabah, ya, untuk mempermudahkan lagi gerak kerja mereka, persiapan mereka.
“Dan insya-Allah, kalau mereka mencipta kejayaan lagi sebagai juara, kita akan fikirkan untuk memberi lebih lagi insentif sebagai penghargaan kita terhadap kesungguhan mereka mengharumkan Sabah di peringkat kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pengiktirafan dan penghargaan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
Nizam berkata, pencarian bakat sukan sejak peringkat sekolah rendah penting dalam melahirkan atlet yang mampu mengharumkan nama Sabah pada masa hadapan, khususnya dalam Sukan Malaysia (SUKMA) serta pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Katanya, kementerian akan terus bekerjasama dengan JPNS bagi mengenal pasti dan mengembangkan potensi atlet sekolah sehingga mampu melahirkan juara di peringkat lebih tinggi.
Beliau turut mengalu-alukan inisiatif JPNS dalam memberikan pengiktirafan kepada pelajar dan warga pendidik yang mencatatkan kecemerlangan di peringkat negeri serta kebangsaan.
