KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah menjana nilai ditambah sebanyak RM14.4 bilion pada 2025, mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus sekali gus menyumbang 12.3 peratus kepada ekonomi negeri berbanding 11.9 peratus pada tahun sebelumnya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pencapaian itu membuktikan sektor pelancongan kekal sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan penjanaan peluang pekerjaan di negeri ini.
Menurutnya, industri berkaitan pelancongan menyediakan pekerjaan kepada 415,100 orang pada 2025, meningkat 7.1 peratus berbanding 387,600 orang pada tahun sebelumnya.
“Hampir satu daripada setiap empat individu yang bekerja di Sabah terlibat dalam industri berkaitan pelancongan. Ini jelas menunjukkan bahawa pelancongan bukan sekadar industri, tetapi merupakan sumber ekonomi dan mata pencarian kepada ratusan ribu rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Berdasarkan laporan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah Sabah 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perdagangan runcit merupakan penyumbang terbesar kepada Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan dengan 45.6 peratus, diikuti perkhidmatan penginapan serta penyediaan makanan dan minuman sebanyak 30 peratus.
Penggunaan pelancongan dalaman turut meningkat 14.2 peratus kepada RM13.4 bilion, dengan perbelanjaan pelancongan inbound mencecah RM7.5 bilion, manakala pelancongan domestik mencatatkan RM5.9 bilion.
Jafry berkata, dapatan itu akan menjadi rujukan penting kementeriannya dalam merangka strategi pembangunan sektor pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
“Apabila pelancongan Sabah berkembang, ekonomi negeri mesti bertambah kukuh dan rakyat Sabah mesti turut menikmati manfaatnya,” katanya.
