TAWAU: Kegiatan sindiket penipuan pelaburan stok secara dalam talian yang menyasarkan warga Korea berjaya ditumpaskan selepas polis menahan 28 warga asing dalam satu serbuan di Bandar Sri Indah, di sini.
Dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Task Force KDNKA itu, polis menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dijadikan pusat operasi, tempat tinggal serta lokasi latihan sindiket terbabit.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penipuan pelaburan saham tidak wujud menggunakan beberapa platform aplikasi komunikasi pesanan segera.
“Sindiket ini dipercayai telah masuk ke Sabah dan menjalankan aktiviti penipuan pelaburan stok secara atas talian menggunakan beberapa platform aplikasi komunikasi pesanan segera dan menyasarkan warganegara Korea,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, daripada keseluruhan tangkapan, 27 suspek merupakan warga China manakala seorang lagi warga Vietnam berusia antara 21 hingga 51 tahun.
Beliau berkata, polis turut merampas 33 unit telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua modem internet dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM50,000.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek, rangkaian sindiket, jumlah sebenar mangsa serta nilai kerugian yang terlibat.
“Lokasi yang diserbu adalah kediaman yang dijadikan tempat tinggal dan rehat, tempat kerja dan tempat latihan untuk menjalankan sindiket,” katanya.
Dalam pada itu, Jasmin menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Saya menyeru masyarakat agar bersama-sama pihak polis memerangi scammer sekurang-kurangnya dengan tidak menjadi mangsa dan sentiasa berhati-hati serta bertanya dengan pihak berkaitan sebelum menjalankan apa-apa transaksi berkaitan kewangan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, manakala semua suspek direman bermula hari ini.
