KUALA LUMPUR: Tuntutan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak tidak wajar ditolak dengan alasan perundangan semata-mata, sebaliknya perlu diteliti berdasarkan semangat dan prinsip yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, tuntutan berkenaan bukan sekadar agenda politik, sebaliknya merupakan prinsip asas yang digariskan ketika pembentukan Malaysia melibatkan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi), Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung isu itu menimbulkan polemik tidak sihat, lebih-lebih lagi ia dibuat menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
“Jawapan Azalina itu boleh menimbulkan ketegangan politik dan mengores hati rakyat Sabah dan Sarawak seolah-olah beliau menentang cadangan penambahan kerusi Parlimen di kedua-dua negeri berkenaan.
“Pandangan itu juga dilihat bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menyatakan persetujuan pada dasarnya untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, isu yang dibangkitkan Azalina berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap cara kerajaan pusat melayani negeri-negeri di wilayah Borneo yang sewajarnya mempunyai autonomi politik tertentu.
Terdahulu, dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda di Dewan Rakyat pada 3 Mac lalu, Azalina menjelaskan bahawa cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia memberi implikasi besar kepada negeri-negeri lain.
Bagaimanapun, Masiung menegaskan kenyataan tersebut dilihat tidak menghormati aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak serta merendahkan usaha wakil rakyat dari kedua-dua negeri yang sekian lama memperjuangkan perkara itu di Parlimen.
Beliau turut mengingatkan bahawa pada 16 November tahun lalu, Perdana Menteri telah menyatakan persetujuan pada dasarnya terhadap cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
“Justeru, saya hairan mengapa cadangan itu seolah-olah dipersoalkan sedangkan Perdana Menteri sendiri terlebih dahulu membuat pengumuman dan memberi pertimbangan untuk menambah kerusi Parlimen di kedua-dua negeri ini,” katanya.
