KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar mengingatkan semua ketua jabatan di bawah kementeriannya supaya mengurangkan masa di pejabat dan memperbanyakkan kehadiran di lapangan bagi menyelesaikan isu rakyat secara terus.
Beliau berkata, pendekatan turun padang amat penting bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan benar-benar memberi impak kepada golongan nelayan dan petani di negeri ini.
“Di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, kita perlu turun padang, menyelesaikan masalah pelanggan dan membantu mereka mengusahakan yang terbaik supaya dapat meningkatkan sumber pendapatan mereka,” katanya ketika merasmikan Malam Apresiasi KO-NELAYAN 2026 di Hotel Marriott Kota Kinabalu, pada Jumaat lalu.
Dalam majlis itu, Jamawi memaklumkan KO-NELAYAN diperuntukkan sebanyak RM108,488,260 bagi melaksanakan lapan program dan 28 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Beliau yakin pelaksanaan tersebut mampu memberi impak terbaik kepada nelayan laut dan nelayan darat di seluruh Sabah.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada KO-NELAYAN kerana berjaya membelanjakan kira-kira 90 peratus daripada peruntukan berjumlah RM39,786,259 sebelum ini, sekali gus membuktikan komitmen agensi itu dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk manfaat komuniti nelayan.
Menurutnya, dalam tempoh lima tahun perkhidmatannya sebagai menteri yang menjaga kebajikan nelayan dan petani, beliau mahu memastikan wujud impak berkesan terhadap peningkatan pendapatan golongan tersebut.
Jamawi berkata, kementeriannya juga memberi penekanan terhadap usaha memperkasa inisiatif seperti Program Inisiatif Kebun Dapur, yang bukan sekadar pemberian subsidi, sebaliknya membuka peluang kepada peserta mendapatkan bahan tanaman pada kadar diskaun terbaik.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai menghadiri program Inisiatif Kebun Dapur yang berlangsung di Tuaran bermula 14 hingga 15 Februari dan akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jamawi turut memaklumkan beliau bersama isteri akan mengadakan demonstrasi cantuman pokok buah-buahan di Padang Istiadat, Tuaran.
Terdahulu, beliau merakamkan penghargaan kepada KO-NELAYAN atas jemputan serta menyifatkan penganjuran Malam Apresiasi itu sebagai platform menghargai warga kerja dan mengeratkan silaturrahim dalam organisasi.
Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang 2025 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025.
