KOTA KINABALU: Prosiding penghinaan mahkamah membabitkan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kenyataan yang didakwa dibuat berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir, digantung sementara menunggu keputusan semakan kehakiman bagi menghentikan inkues tersebut.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan selepas membenarkan sebahagian bantahan awal yang dikemukakan peguam Shafie terhadap permohonan komital (committal) penghinaan mahkamah yang difailkan terhadap beliau pada Rabu.
Bagaimanapun, mahkamah menolak bantahan awal Shafie berhubung isu sama ada Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Koroner merupakan forum yang sesuai untuk mendengar prosiding penghinaan mahkamah berkenaan.
Dengan keputusan itu, prosiding hina mahkamah berkenaan tidak akan diteruskan sehingga Mahkamah Tinggi memutuskan permohonan semakan kehakiman yang difailkan bagi menghentikan inkues kematian tersebut.
Mahkamah turut menetapkan 27 Mac depan untuk sebutan semula kes secara dalam talian melalui platform Zoom.
Kehadiran Shafie pada tarikh berkenaan telah dikecualikan oleh mahkamah.
