KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup, dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang baharu, dengan komitmen untuk menyatukan parti-parti komponen serta memperkukuh kestabilan politik negeri.
Dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini, Arthur merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan kepimpinan Dewan Tertinggi BN atas kepercayaan yang diberikan, sambil menegaskan pelantikan itu merupakan amanah besar yang akan digalas dengan penuh tanggungjawab.
“Keutamaan saya ialah mengeratkan perpaduan dan memastikan koordinasi politik yang lebih tersusun serta stabil, demi membina kekuatan bersama, memperkukuh kepercayaan rakyat dan menyumbang kepada pembangunan serta kestabilan politik Sabah,” katanya.
Arthur turut menegaskan komitmen BN Sabah untuk terus memperjuangkan hak negeri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selari dengan aspirasi pembangunan yang seimbang, inklusif dan berterusan demi kesejahteraan rakyat.
Pelantikan Arthur diumumkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN baru-baru ini, menggantikan Allahyarham Bung Moktar Radin yang meninggal dunia bulan lalu. Dalam mesyuarat sama, Ketua UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi BN Sabah, manakala Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Setiausaha.
Arthur yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Persekutuan, menyatakan keyakinan bahawa melalui kerjasama erat antara kepimpinan, akar umbi dan rakan strategik, BN Sabah mampu tampil sebagai wadah politik yang stabil, berprinsip dan berorientasikan kepentingan rakyat.
