KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM2.12 juta.
Tertuduh berusia 58 tahun itu mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025, di hadapan Hakim Azura Alwi. Beliau merupakan pegawai tentera darat pertama didakwa di mahkamah berkaitan kes pengubahan wang haram melibatkan tender perolehan Tentera Darat Malaysia.
Menurut pertuduhan, Muhammad Hafizuddeain didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin serta mengenakan syarat tambahan termasuk melapor diri sebulan sekali kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan menyerahkan pasport sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Mac ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam Aizul Rohan Anuar.
