KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan menilai semula prestasi syarikat YTL susulan pelbagai aduan berhubung kelewatan pelaksanaan projek penyediaan perkhidmatan internet di sekolah-sekolah seluruh negeri, yang menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran serta usaha pendigitalan pendidikan.
Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah memaklumkan, isu berkenaan melibatkan sebanyak 736 buah sekolah yang menggunakan teknologi fiber Point-of-Presence (PoP), khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Antara masalah utama dikenal pasti ialah kualiti perkhidmatan internet yang tidak mencapai tahap dijanjikan, termasuk capaian jalur lebar (bandwidth) yang rendah, respon lambat terhadap aduan sekolah serta kelewatan pemasangan infrastruktur PoP walaupun lokasi telah dikenal pasti.
Selain itu, terdapat PoP yang disenaraikan sebagai siap namun masih belum boleh digunakan, manakala sebahagian sekolah masih bergantung kepada menara 1BestariNet yang menyebabkan capaian internet tidak stabil dan tidak konsisten.
KPSTI Sabah menegaskan akses internet yang stabil dan berkualiti merupakan keperluan asas dalam sistem pendidikan masa kini bagi menyokong pembelajaran digital serta pengurusan sekolah yang lebih cekap.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap pematuhan YTL kepada garis masa pelaksanaan, kualiti perkhidmatan serta kecekapan pengurusan dan tindak balas terhadap aduan yang diterima.
“Sekiranya terdapat bukti sahih mengenai kelewatan atau kegagalan pelaksanaan projek ini, Kerajaan Negeri Sabah tidak akan teragak-agak untuk menamatkan lantikan tersebut demi kepentingan murid, guru dan kelangsungan sistem pendidikan negeri,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan Negeri Sabah kekal komited memastikan semua sekolah mendapat akses internet yang stabil, berkualiti dan berkesan selaras dengan aspirasi memperkukuh pendidikan berteraskan sains, teknologi dan inovasi.
