KOTA KINABALU: Kabinet Negeri meluluskan penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Awam-Swasta dan Pengurusan Projek Konsesi Negeri bagi memperkukuh tadbir urus serta penilaian projek melibatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan sektor swasta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jawatankuasa baharu itu akan menggantikan Jawatankuasa Penswastaan Negeri yang ditubuhkan pada 1991, dengan skop penilaian yang lebih luas dan menyeluruh.
“Jawatankuasa ini akan menilai tiga kategori projek, berbanding jawatankuasa sebelum ini yang hanya menilai projek dari perspektif penswastaan,” katanya.
Menurut beliau, semua cadangan projek kerjasama awam-swasta akan dimulakan oleh kementerian berkaitan sebelum dirujuk kepada jawatankuasa teknikal di bawah jawatankuasa baharu itu yang dipengerusikan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri.
Katanya, projek yang dikenal pasti berdaya maju kemudiannya akan dibawa ke Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Setiausaha Negeri untuk penelitian lanjut sebelum dibentangkan kepada Kabinet Negeri bagi kelulusan muktamad.
“Proses ini penting bagi memastikan ketepatan skop projek yang melibatkan Kerajaan Negeri dan sektor swasta, termasuk konsesi air, jalan raya serta projek perumahan,” katanya sambil menegaskan semua usaha sama kerajaan kini wajib melalui proses penilaian jawatankuasa ini.
Berucap ketika mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet pertama Jabatan Ketua Menteri selepas pembentukan kerajaan baharu di Menara Kinabalu hari ini, Hajiji turut memaklumkan Kabinet Negeri meluluskan penambahbaikan kriteria serta kos bagi inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) tahun ini.
Kos pembinaan Rumah SMJ bertiang dinaikkan kepada RM95,000 seunit, manakala Rumah SMJ tidak bertiang kepada RM85,000 seunit bagi menampung kos tambahan termasuk pengangkutan bahan binaan, penambakan tanah serta pemasangan utiliti asas.
Dalam perkembangan lain, Hajiji mengumumkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030 akan dilancarkan pada 30 Januari ini sempena Majlis Amanat Ketua Menteri, yang dijangka dihadiri lebih 7,000 penjawat awam negeri, warga syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun.
