PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu mulai 2027 akan dilaksanakan secara fleksibel dan tidak bersifat wajib, sebaliknya bergantung kepada tahap kesediaan murid serta persetujuan ibu bapa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa perlu menilai kesediaan anak-anak dari aspek psikologi, emosi dan perkembangan asas sebelum membuat keputusan mendaftarkan mereka ke sekolah, manakala KPM akan menjalankan ujian diagnostik bagi mengenal pasti tahap psikomotor dan keperluan khusus murid.
“Jika anak tidak bersedia dari segi emosi dan psikologi, kita tidak mahu ia memberi kesan negatif. Sebab itu ibu bapa perlu membuat penilaian awal, kemudian KPM akan melaksanakan ujian diagnostik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 di sini, Selasa.
Menurut Fadhlina, KPM akan menetapkan garis masa pengumpulan data kanak-kanak berusia enam tahun di seluruh negara, dan hanya murid yang benar-benar bersedia akan dibenarkan mendaftar lebih awal sebelum memulakan Tahun Satu pada 2027.
Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan lambakan murid dan isu prasarana sekolah, beliau berkata pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dengan mendahulukan kanak-kanak yang bersedia, selain persediaan prasarana akan disusun berdasarkan data sebenar.
“Kohort murid berusia tujuh tahun akan diteruskan seperti biasa, manakala kemasukan murid enam tahun akan dibuat mengikut kesiapsiagaan sekolah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik dan sebaliknya berbincang dengan pihak sekolah serta KPM bagi memastikan peralihan kanak-kanak ke sekolah rendah berjalan lancar.
