KOTA BELUD: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 55 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk mengambil ubat di Hospital Kota Belud, ditemui meninggal dunia di Sungai Lebak Engad, kira-kira dua kilometer dari Kampung Siasai Tamu, di sini, pada Rabu.
Mangsa dilaporkan keluar dari rumahnya di Kampung Siasai Dundau pada jam 6 pagi, Isnin lalu (12 Jan), namun tidak pulang ke rumah sebelum laporan kehilangan dibuat kepada polis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 3.16 petang, hari ini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Maklumat awal menyatakan mangsa kali terakhir dilihat oleh saksi sekitar jam 5 petang, Isnin lalu, ketika menuju ke arah sungai di Kampung Siasai Tamu untuk menyeberang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR melibatkan seramai 12 anggota BBP Kota Belud dengan bantuan PDRM dan pencarian dijalankan menggunakan Bot YaPIEM berikutan keadaan sungai yang cetek.
Beliau berkata, mangsa yang mempunyai masalah kesihatan mental dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kota Belud itu turut dikenal pasti memiliki kad OKU dan kali terakhir dilihat memakai baju T-shirt berwarna biru turquoise.
“Mangsa berjaya ditemui di Sungai Lebak Engad sebelum dibawa ke tebing dan disahkan meninggal dunia oleh pihak PDRM,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang hari yang sama.
