KOTA KINABALU: Dua lelaki maut dalam kemalangan jalan raya apabila sebuah motosikal dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah van di Jalan UMS, Kebagu berhampiran Kampung Saga 3, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 malam apabila van jenis KIA yang dipandu dari arah Kampung Numbak menuju One Borneo bertembung dengan motosikal Honda Vario 125 yang datang dari arah bertentangan dan dipercayai memasuki laluan kenderaan berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II,” katanya.
Beliau berkata, pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemeriksaan awal mendapati van mengalami kerosakan di bahagian hadapan manakala motosikal rosak teruk.
Katanya, tiada pihak disyaki berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, namun sampel darah akan diambil untuk analisis toksikologi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 malam dan tiba di lokasi pada jam 7.37 malam selepas menempuh jarak 14.7 kilometer.
“Pasukan kami mendapati dua mangsa tersepit di bawah kenderaan dan mengeluarkan mereka menggunakan peralatan Air Lifting Bag. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi melibatkan 11 anggota dengan kekuatan satu jentera FRT, satu EMRS dan satu RIM, selain bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. Identiti kedua-dua mangsa masih belum diperoleh.
