Oplus_16908288
KOTA KINABALU: Proses rundingan berkaitan tuntutan hak hasil 40 peratus Sabah masih belum mencapai tahap pematuhan sebenar seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi, meskipun sudah genap 90 hari sejak penghakiman dikeluarkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Roger Chin berkata, setakat ini hanya satu mesyuarat diadakan dan ia lebih bersifat awal serta tidak membawa kepada rundingan substantif yang mampu merealisasikan semakan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun proses itu dikatakan telah bermula, hakikatnya tiada rundingan tulen, bermakna dan bersungguh-sungguh seperti yang dibayangkan oleh Mahkamah. Tiada perbincangan substantif mengenai jumlah, metodologi, pendedahan data kewangan atau garis masa jelas untuk pematuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat yang diadakan sebelum ini hanya tertumpu kepada penjelasan parameter dan kaedah, tanpa sebarang persetujuan terhadap isu teras yang diperlukan bagi melaksanakan penghakiman mahkamah.
Tambahnya, keadaan itu merisaukan lagi apabila mesyuarat susulan yang dijadualkan pada 19 Disember 2025 ditangguhkan oleh Kerajaan Persekutuan tanpa sebarang tarikh baharu ditetapkan sehingga kini.
“Penangguhan tanpa penjadualan semula ini menunjukkan ketiadaan rasa mendesak dan keseriusan yang jelas bercanggah dengan semangat serta kehendak penghakiman Mahkamah,” katanya.
Roger menegaskan, pada tanda aras 90 hari, separuh daripada tempoh 180 hari yang ditetapkan Mahkamah untuk mencapai persetujuan telah berlalu, namun kemajuan sebenar masih jauh daripada memuaskan.
“Semakan di bawah Perkara 112D tidak boleh dipenuhi dengan perbincangan bersifat terpencil atau tidak berterusan. Penghakiman ini mewujudkan kewajipan undang-undang yang mengikat dan memerlukan penglibatan serius, aktif serta berlandaskan niat baik,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan untuk beralih segera kepada rundingan sebenar yang melibatkan mesyuarat berkala, pendirian substantif, ketelusan data kewangan dan komitmen jelas untuk mencapai persetujuan akan meningkatkan risiko ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah.
“Keadaan ini mesti diperbetulkan tanpa sebarang kelewatan kerana kegagalan berterusan bukan sahaja menjejaskan tempoh 180 hari yang diperintahkan, malah boleh mendedahkan pihak terlibat kepada implikasi undang-undang selanjutnya,” katanya.
