PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan tiga kenderaan di lot parkir Taman Suria Apartment, Penampang, pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD), Toyota Vigo dan dua buah motokar yang diparkir di kawasan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati pemandu 4WD dipercayai mengalami masalah kesihatan ketika memandu sebelum gagal mengawal kenderaan lalu merempuh dua motokar yang berada di lot parkir,” katanya dalam kenyataan media di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, pemandu terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan tiada kecederaan fizikal dikesan akibat kemalangan berkenaan.
Menurutnya, kes kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), manakala siasatan kemalangan dijalankan di bawah Rule 10, LN 166/59.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik sebelum memandu serta mengutamakan keselamatan di jalan raya.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan keselamatan awam, orang ramai digalakkan untuk menghubungi pihak polis bagi tindakan lanjut,” katanya.
