SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 21 tahun cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang dipandunya terbabas dan terbalik sendiri dalam kemalangan di Jalan Raya Utama, Batu 3, di hadapan St Mary, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 6.08 pagi dan jentera tiba di lokasi dua minit kemudian.
“Pasukan bomba mendapati sebuah Mitsubishi Pajero terbabas dan terbalik sendiri. Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) dan berada dalam keadaan sedar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
Operasi melibatkan tujuh anggota BBP Sandakan dengan sokongan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.
