KOTA KINABALU: Komitmen SBH Kibing New Solar Energy menggaji lebih 84 peratus tenaga kerja tempatan membuktikan peranan penting pelaburan industri dalam menyediakan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke premis syarikat berkenaan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar, bagi meninjau operasi, prestasi serta perkembangan pengembangan perusahaan itu.
“Saya memuji komitmen Kibing yang mengambil lebih 84 peratus pekerja dalam kalangan rakyat Sabah serta usaha berterusan untuk meningkatkan peratusan tersebut pada masa hadapan,” katanya.
Dalam lawatan itu, Ewon turut diberikan taklimat mengenai operasi semasa syarikat, pencapaian yang telah direkodkan serta perancangan masa depan Kibing yang merupakan antara pelaburan perindustrian utama di negeri ini.
Beliau turut menghargai pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat, selain menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Pada masa sama, Ewon menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar yang memberi kesan bukan sahaja kepada Kibing, malah melibatkan pemain industri lain di Sabah.
“Saya mengambil serius perkara ini dan memberi jaminan bahawa langkah proaktif akan diambil dengan penglibatan semua pemegang taruh bagi memastikan penyelesaian yang berkesan,” katanya.
Menurut beliau, pengukuhan ekosistem logistik serta infrastruktur pelabuhan amat penting bagi menyokong pertumbuhan sektor perindustrian dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke Sabah.
Lawatan kerja itu turut disertai wakil Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, KKIP Sdn. Bhd., Sabah Electricity, Suruhanjaya Tenaga Sabah, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian (DIDR), Jabatan Keretapi Sabah serta wakil persatuan industri logistik negeri.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap MINDET, Datuk Thomas Logijin, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Dollyn Aloysius serta wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri.
SBH Kibing New Solar Energy merupakan syarikat pembuatan kaca solar yang beroperasi di KKIP dan adalah sebahagian daripada Kibing Group, sebuah kumpulan pengeluar kaca dan bahan solar berteknologi tinggi dari China.
