KOTA KINABALU: Tiga jalan utama di pusat bandar Kota Kinabalu akan ditutup sementara sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2026 bagi melancarkan pergerakan trafik dan memastikan kelancaran penganjuran acara berkenaan.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu notis pemakluman memaklumkan penutupan sementara jalan dan tempat letak kereta itu akan dilaksanakan bermula 31 Disember 2025 hingga awal pagi 1 Januari 2026, mengikut tarikh, masa dan lokasi yang ditetapkan.
Menurut DBKK, jalan yang terlibat ialah Jalan Tugu dari Bulatan Bangau ke Bulatan Kampung Air, Jalan Bandaran dari simpang masuk Jalan KK Bypass ke Bulatan Bangau serta sebahagian jalan di hadapan Jabatan Penguatkuasaan DBKK.
Penutupan jalan berkenaan akan bermula pada jam 3 petang, Rabu, 31 Disember 2025 dan dibuka semula pada jam 1 pagi, Khamis, 1 Januari 2026.
Selain itu, tempat letak kereta di Taman Poket yang terletak di hadapan Jabatan Penguatkuasaan DBKK turut ditutup bermula jam 1 pagi, 31 Disember 2025 hingga jam 1 pagi, 1 Januari 2026.
DBKK menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas serta menggunakan laluan alternatif yang disediakan demi keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang tempoh sambutan.
Sebarang kesulitan amat dikesali dan kerjasama orang ramai amat dihargai, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam DBKK.
