TAWAU: Tindakan seorang lelaki menjual telefon bimbit curi bagi mendapatkan bekalan dadah membawa padah apabila dia ditahan polis dalam satu serbuan di kawasan Felda Umas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek warga tempatan berusia 20 tahun itu diberkas kira-kira jam 10 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Menurutnya, kejadian terbongkar selepas mangsa menyedari telefon bimbit berjenama milik bapanya yang disimpan di dalam bilik telah hilang dan dipercayai dicuri oleh seorang lelaki yang dikenali serta tinggal di kawasan perumahan sama.
“Kerugian akibat kehilangan telefon bimbit itu dianggarkan bernilai RM500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku mencuri dan menjual telefon bimbit berkenaan bagi mendapatkan bekalan dadah.
Dalam pada itu, ACP Jasmin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan harta benda dengan memastikan rumah dan bilik sentiasa berkunci serta tidak meninggalkan barangan berharga di tempat yang mudah diakses bagi mengelakkan kejadian jenayah.
