KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus konsisten memperjuangkan hak serta kepentingan negeri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara berhemah dan berprinsip, demi memastikan kedudukan Sabah terus diperkasakan dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
Komitmen tersebut ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, dalam kenyataannya sempena ketibaan Tahun Baharu 2026.
Menurut beliau, hubungan baik dan akrab antara Kerajaan Negeri Sabah di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan Kerajaan Persekutuan yang berteraskan gagasan Malaysia MADANI akan terus diperkukuh demi kepentingan rakyat Sabah serta usaha membina sebuah negara yang lebih inklusif, adil dan seimbang.
Beliau turut menyifatkan tahun 2026 sebagai permulaan fasa penting dalam pelaksanaan agenda SMJ 2.0 (2026–2030), yang akan terus memperkukuh tiga teras utama pembangunan negeri.
“Teras pertama, S, merangkumi sektor pertumbuhan ekonomi yang menjana hasil negeri seperti pertanian, perindustrian dan pelancongan. Teras kedua, M, memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat. Manakala teras ketiga, J, memfokuskan kepada peluasan jaringan infrastruktur yang lebih baik, mampan serta berteraskan kelestarian hijau,” katanya.
Seiring dengan agenda tersebut, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif akan memberi tumpuan kepada usaha pembudayaan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi.
“Penekanan akan diberikan kepada pembangunan kepimpinan, kemahiran masa depan, inovasi serta semangat kesukarelawanan agar golongan belia bukan sekadar penerima peluang, sebaliknya menjadi pencipta nilai dan penyumbang aktif kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan masyarakat,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah merakamkan kesyukuran atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 yang berakhir pada 29 November lalu.
Katanya, mandat tersebut membuktikan bahawa rakyat memilih kestabilan, kematangan politik serta sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju jelas untuk membawa Sabah ke arah kemajuan berterusan.
“GRS di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor telah diberikan amanah untuk mengetuai Kerajaan Perpaduan Sabah. Keputusan ini bukan sekadar kemenangan politik, tetapi isyarat jelas bahawa rakyat menginginkan kesinambungan dasar, pentadbiran yang stabil serta kepimpinan yang berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri,” katanya.
Nizam yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Jemaah Menteri Sabah.
“Lantikan ini saya terima dengan penuh rasa tanggungjawab dan komitmen untuk bekerja sebaik mungkin bersama pasukan kerajaan negeri bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada kemajuan Sabah secara menyeluruh,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan sokongan dan kerjasama padu kepada Kerajaan Negeri dalam usaha membina Sabah yang lebih maju dan berjaya.
“Kejayaan ini bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya merupakan usaha bersama antara kepimpinan dan rakyat. Semoga Tahun 2026 membawa sinar baharu, kestabilan berpanjangan serta kemajuan yang lebih bermakna untuk Sabah dan seluruh rakyatnya,” katanya.
