KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu telah diaktifkan susulan amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 melanda Mindanao, selatan Filipina pagi ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kesiapsiagaan agensi-agensi berkaitan berada pada tahap tertinggi dalam menghadapi sebarang kemungkinan susulan kejadian berkenaan.
Beliau turut menasihati penduduk di daerah-daerah terlibat supaya kekal bertenang dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Adalah penting untuk rakyat kekal bertenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri sedang memantau perkembangan situasi tersebut secara rapi dan berterusan bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi bermagnitud 7.9 pada skala Richter telah berlaku di Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi.
Susulan kejadian itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran bahawa ombak tsunami setinggi kira-kira 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya yang berada di kawasan pesisir pantai dinasihatkan agar terus berwaspada, mengikuti perkembangan semasa melalui saluran rasmi kerajaan dan mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak disahkan.
Kerajaan Negeri bersama agensi keselamatan, penyelamat dan pengurusan bencana akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang terjejas.
